| Air mata menjadi saksi..
Segalanya bagai tiada hujung pangkal. Semuanya kelam dan tiada kepastian asal usulnya.
Jalan tidak berpijak, terbang tidak melayang. Fikir tidak berhasil, menung tidak mengundang untung. Mahu ditangis, entah apa jalan sedihnya. Mahu ditertawa, tiada pasti di mana gelak girangnya.
Jiwa saya gundah yang tak pernah habis..saya sendiri tidak pasti mengapa rasa ini sering muncul dalam hari-hari saya.. kadang fikiran menjadi buntu.. apa yang perlu saya buat untuk menghalau rasa ini.. “Entahlah…”, saya pun tidak pasti apa jawapan terbaik untuknya’’ saya jawab pertanyaan itu sendiri..
Tetapi biar sesukar mana pun hari-hari itu saya tempuhi, akhirnya ia tetap sebuah kerinduan.. Saya merindukan rasa itu, kerana rasa itulah mata dan hati saya tercelik melihat segalanya tentang kehidupan.
Segala yang menyediakan saya untuk kehidupan susulan yang lebih menguji dan penuh kesulitan. Dan segala kenangan itu sedang menggigit jiwa dan perasaan saya. Pada sebuah kerinduan yang dalam dan penuh rahsia.
Air mata lalu menjadi saksi peristiwa hari ini.Air mata itu penuh kehangatan menjadikan saya mengenali erti syukur,erti hidup yang hakiki dan air mata itu menjadi sebab saya semakin mengenali pencipta diri ini..air mata yang mengalir bagaikan air yang mengalir bagi menyucikan jiwa saya dari cinta dunia..air mata itu mendidik hati saya menjadi kental menghadapi ujianNya..air mata itu membuat saya sedar saya berada dalam perjalanan pulang menuju kepada Sang Abadi..

Wahai hati..
bila engkau memandang segalanya dari Allah yang mencepatkan segalanya ,
yang menimpakan ujian ,
yang menyebabkan sakitnya hatimu,
yang mmbuatkan keinginanmu terhalang ,
pastinya damailah hatimu.
Masakan Allah sengaja mentadbir segala-galanya dengan sia-sia,
bukan kerana Allah tidak tahu deritanya hidup mu ,
pecahnya hatimu ,
tetapi mungkin itulah yang Dia mahu ,
kerana Dia tahu hati sebegini lebih lunak dan mudah untuk dekat denganNya ..
Menangis Kerana Takutkan Allah
Biarkan air mata itu mengalir kerana takut kepada Allah.. saya cuba mendidik hati dan jiwa supaya air mata kan mengalir hanya kerana Dia..bukan lagi cinta dunia dan luka sekeping hati dek kerana secebis ujian dunia.. saya kongsikan sedikit kisah di bawah ini untuk jadikan kita hamba yang mencintai Allah lebih dari segala-galanya..
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.” Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu.”
Akhirnya Allah s.w.t. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.” Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w. berusaha menghalanginya dengan berkata, “Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad s.a.w.” Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah s.a.w. meraihnya. Berkata Jibril a.s. “Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril a.s. “Wahai Jibril, Apakah air itu?” Maka Jibril berkata, “Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.” Maka padamlah api itu dengan izin Allah s.w.t.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., ” Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata.”
Ya Allah aku ingin terus menangis..Izinkanku terus menangis hanya keranaMu..
~muhasabah dari relung-relung HATI~ |